the best arabic songs

Sunday 5 February 2012

7 Tipudaya Syaitan ke Atas Umat Islam

BAB KELIMA: LIMA STRATEGI MELAWAN SYAITAN.

Setelah mempelajari berkenaan syaitan dari pelbagai sudut, kini tiba masanya untuk kita belajar bagaimana untuk melawan syaitan. Caranya tidak susah, hanya lima strategi yang perlu dipelajari dan dilakukan:
Ikhlas Dalam Beragama.
Takut Kepada Allah.
Jangan Ikut syaitan.
Berjamaah.
Zikir dan Doa.


Strategi # 1: Ikhlas Dalam Beragama.
Apabila iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui bahawa ia tidak dapat melaksanakan janji tersebut kepada satu golongan orang, iaitu mereka yang ikhlas. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian,
berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”
Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu,
maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.
Hingga ke hari - masa yang termaklum.”

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran)
kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”
[al-Hijr 15:36-40]

Iblis mengulangi pengecualian ini dalam ketika yang lain:

“Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”

Dalam dua ayat di atas, syaitan telah membongkarkan rahsianya yang amat penting. Dalam melaksanakan perjanjian dan permusuhannya kepada umat Islam sehingga Hari Kiamat, syaitan hanya tertahan kepada satu golongan orang. Mereka itu ialah orang-orang yang ikhlas dalam beragama.

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas? Ia adalah melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Saya yakin para pembaca sekalian sebelum ini telah mengetahui tentang ikhlas dalam solat, ikhlas dalam berpuasa dan ikhlas dalam berzikir. Ia bererti mendirikan solat kerana Allah dan bukannya kerana emak mertua yang datang melawat. Ia bererti berpuasa kerana Allah dan bukannya kerana mengelak dari disindir oleh pelajar-pelajar di kolej. Ia bererti berzikir kerana Allah dan bukannya kerana ingin menunjukkan sifat wara’ kepada rakan-rakan di pejabat.

Ada pun ikhlas yang dikecualikan oleh syaitan, maka ia adalah keikhlasan yang berlaku dalam konteks yang lebih besar. Ia adalah keikhlasan yang melibatkan keseluruhan agama dan bukan sekadar amalan-amalan tertentu di dalam agama. Ertinya, kita beragama, memperjuangkan agama, membela agama dan melakukan kerja agama semuanya kerana Allah.

Pada masa kini keikhlasan kerana agama amat sukar untuk ditemui. Di sana-sini, kita tidak akan menemui orang yang memiliki penghayatan agama melainkan dia melakukannya kerana tuan gurunya, kedudukannya, alirannya atau jamaahnya. Yang dimaksudkan dengan jamaah ialah parti, persatuan, pertubuhan dan organisasi.

Maka dari sini, strategi # 1 untuk melawan syaitan ialah ikhlas dalam beragama. Hendaklah kita merenung kembali tujuan kita beragama. Seandainya ia 100% kerana Allah, maka peliharalah keikhlasan tersebut. Jika belum mencapai 100% kerana Allah, maka perbetulkanlah kerana syaitan akan menyelit masuk dengan segala tipu dayanya dalam kekurangan tersebut.



Strategi # 2: Takut Kepada Allah.
Sekali pun syaitan dan segala ciri dan tipu dayanya kelihatan hebat, ia memiliki satu kelemahan: Ia takut kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Kelemahan ini diakuinya sendiri, sebagaimana yang dapat kita lihat pada ayat berikut:

Dan (ingatlah) ketika syaitan memperindahkan kepada mereka
amalan (mungkar) mereka serta menghasut mereka dengan berkata:
“Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia
yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu.”

Maka apabila kedua-dua pihak (angkatan tentera Islam dan musyrik)
masing-masing kelihatan (berhadapan),
syaitan berundur ke belakang sambil berkata:
“Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat
apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah
dan Allah sangatlah berat azab seksa-Nya.”
[al-Anfal 8:48]

Ayat di atas merujuk kepada peristiwa Perang Badar. Sebelum peperangan, syaitan menghasut segelintir umat Islam dengan sikap riya’ dan hebat. Akan tetapi apabila saja pasukan umat Islam berhadapan dengan musuh, syaitan mengundurkan diri sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangatlah berat azab seksa-Nya.”

Oleh kerana itu janganlah kita takut kepada syaitan tetapi takutlah kepada Allah:

Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap)
penolong-penolongnya (kaum kafir musyrik).
Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku,
jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]

Takut kepada Allah bukanlah bererti menjauhkan diri daripada Allah, tetapi sebaliknya semakin menghampiri-Nya dan semakin meneguhkan keimanan kepada-Nya. Ini dilakukan dengan memuliakan al-Qur’an, menghormati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengunggulkan wahyu di atas akal, mentaati perintah larangan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, berkeyakinan hanya Allah yang dapat memberi manfaat atau mudarat, bertawakkal kepada Allah dan mencari keredhaan Allah dalam segala pemikiran serta perbuatan.

Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan
terhadap orang-orang yang beriman
dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.
Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang
yang menjadikan ia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya
melakukan syirik kepada Allah.
[al-Nahl 16:99-100]

Jika kita takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, maka syaitan akan takut dari mengganggu kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah, maka syaitan juga tidak akan takut dari mengganggu kita.

Sebagai contoh, cara sebenar untuk memagar rumah ialah membaca Basmalah setiap kali memasuki rumah dan ketika hendak menutup pintu. Kemudian hendaklah para penghuni rumah beristiqamah dengan amalan-amalan yang menepati al-Qur’an dan al-Sunnah seperti pergi solat berjamaah, membaca al-Qur’an khasnya surah al-Baqarah dan melayani ahli keluarga dengan baik. Pada waktu yang sama jangan dilakukan perkara-perkara mungkar di dalam rumah. Cara ini akan menakutkan syaitan dari memasuki rumah dan mengganggu para penghuninya.

Contoh lain, jika seorang yang dengki mencabar untuk menyihir anda, jangan takut kepada sihir tetapi takutlah kepada Allah. Sihir adalah kerja syaitan dan ia hanya mampu melakukannya jika anda takut kepadanya. Sebaliknya jika anda takut kepada Allah, syaitan juga takut kepada anda dan tidak akan dapat melakukan sihir tersebut. Diulangi bahawa takut kepada Allah bererti yakin sepenuhnya bahawa hanya Allah yang dapat memberi manfaat atau mudarat. Merujuk kepada perbuatan sihir, ia tidak akan memberi mudarat melainkan dengan izin Allah:

Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua
(Harut dan Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya,
padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat
(atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.
[al-Baqarah 2:102]

Seandainya sihir tersebut benar-benar berlaku, maka ia bukanlah kerana kekuasaan syaitan tetapi kerana kehendak Allah yang ingin menguji para hamba yang dicintai-Nya. Diulangi hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ

فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.

Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan besarnya bala’.
Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum, Dia menurunkan bala’ kepada mereka.
Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya
dan sesiapa yang marah maka Allah murka kepadanya.[1]



Strategi # 3: Jangan Mengikuti Syaitan.
Strategi ketiga ialah menahan diri dari mengikuti syaitan. Dalam strategi # 2 telah dikemukakan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan
terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.
Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap
orang-orang yang menjadikan ia pemimpin mereka,
dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya
melakukan syirik kepada Allah.
[al-Nahl 16:99-100]

Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

Telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu,
bahawa sesiapa yang menjadikannya pemimpin,
maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya
dan memberi hidayah kepada azab neraka.
[al-Hajj 22:04]

Dalam dua ayat di atas, Allah menerangkan bahawa kekuasaan syaitan hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia sebagai pemimpin. Dalam erti kata lain, syaitan hanya mampu mengganggu orang-orang yang mengikutinya. Oleh kerana itulah dalam banyak ayat yang lain, Allah melarang kita dari menjadi pengikut syaitan. Ayat-ayat yang dimaksudkan ialah:

Allah berfirman (kepada iblis):
“Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir.
Sesungguhnya sesiapa di antara mereka (manusia) yang mengikutimu,
tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu semuanya.
[al-A’raaf 7:18]

Allah berfirman (kepada iblis):
“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa
untuk menyesatkan mereka kecuali sesiapa yang mengikutimu
dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).”
[al-Hijr 15:42]

Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!
Kemudian siapa yang mengikutimu di antara mereka (manusia),
maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.”
[al-Isra’ 17:63]

Secara terperinci, yang dimaksudkan ialah jangan mengikuti jejak langkah syaitan:

Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan;
kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]

Dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
kerana sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[al-An’aam 6:142]

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan,
maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya)
melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]

Apakah jejak langkah syaitan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang kita dari mengikutinya? Ia adalah apa jua yang berkaitan dengan syaitan. Dengan merujuk dari awal buku ini, jejak langkah tersebut dapat diringkaskan sebagai:

Pertama: Jangan bersikap takbur.[2]
Jangan mengikuti jejak langkah syaitan yang takbur terhadap perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Takbur ialah sikap ujub, menghina orang lain, mengunggulkan akal di atas wahyu dan mempersoalkan perintah Allah.

Lawan kepada sikap takbur ialah tawadhu’, iaitu rendah diri. Maka setiap kali apabila kita membaca atau mendengar “Firman Allah…” dan “Sabda Rasulullah…”, janganlah takbur. Sebaliknya rendahkanlah diri untuk mentaati dan melaksanakannya sesempurna mungkin. Semua ini dilakukan tanpa mengira siapa yang menyampaikan “Firman Allah…” dan “Sabda Rasulullah…” tersebut atau sama ada “Firman Allah…” dan “Sabda Rasulullah…” tersebut sesuai dengan kehendak kita atau tidak.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu
sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit (takbur)
dalam hati mereka dan yang hatinya keras membatu;
dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan
yang jauh dari kebenaran.

Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui
bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu
lalu mereka beriman kepadanya sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya;
dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman
ke jalan yang lurus.
[al-Hajj 22:53-54]

Sebagai contoh apabila membaca firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qishash” dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh. [al-Baqarah 2:178], jangan takbur terhadapnya dengan membuat takwilan: “Itu hukum zaman unta, sekarang zaman kereta kita guna hukum penjara sahaja!”[3] Kemudian apabila mendengar hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

أَلاَ مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ

فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلاَ يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ.

Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu).[4], jangan takbur dengan menafikannya seraya berkata: “Pemimpin sekarang tidak menjalankan hukuman Qishash, maka tidak perlu taat setia kepadanya!” Ini kerana berdasarkan hadis di atas dan banyak lain yang seumpama, kita hanya dibolehkan membenci kemaksiatan pemimpin tersebut yang tidak menjalankan hukuman Qishash. Ia tidak bererti kebolehan untuk menarik ketaatan darinya secara keseluruhan.[5]


Kedua: Jangan mengikuti ciri-ciri syaitan.[6]
Hendaklah sedaya mungkin kita menjauhi ciri-ciri syaitan yang telah dikemukakan dalam Bab Ketiga seperti:

1. Jangan menguap. Jika tidak dapat menahannya, jangan mengeluarkan bunyi ketika menguap.
2. Jangan makan dan minum dengan tangan kiri. Apa jua perkakas yang digunakan untuk makan, hendaklah menggunakan tangan kanan.
3. Jangan membiarkan makanan tersisa, sama ada di pinggan atau yang terjatuh.
4. Jangan membazir. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27] Membazir ialah melakukan perkara secara sia-sia tanpa mengira sama ada sedikit atau banyak.

Sebagai contoh, orang yang tidur sehingga lewat pagi telah membazir masanya sekali pun dia memiliki masa lapang pada keseluruhan hari tersebut. Orang yang menghisap rokok telah membazir wang dan kesihatannya sekali pun dia hanya menghisap sebatang dalam seminggu.

Orang yang melakukan pembaziran, dia adalah saudara syaitan. Ada pun alasan-alasan seperti tidur yang lebih pada hujung minggu hanyalah untuk merehatkan badan atau merokok itu menenangkan fikiran, mencegah sifat mengantuk dan meramaikan kawan, ia hanyalah alasan-alasan dari syaitan untuk memperindahkan perkara mungkar (Tipu Daya # 2).

5. Jangan minum secara berdiri.
6. Jangan tidur sepanjang malam sehingga matahari naik. Hendaklah bangun ketika azan untuk pergi bersolat Subuh berjamaah. Selepas itu disambung terus dengan aktiviti yang bermanfaat sehinggalah waktu siang kerana waktu pagi adalah waktu yang diberkati. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا.

Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari.[7]

Setelah itu hendaklah tidur sebentar pada waktu siang kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:
قِيْلُوْا، فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ.

Tidurlah pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari.[8]

Kemudian bangun melakukan aktiviti yang bermanfaat hingga waktu Isya’. Ditegah daripada bersembang-sembang kosong selepas waktu Isya’. Abu Barzah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membenci tidur sebelum waktu Isya’ dan bersembang-sembang selepas waktu Isya’.[9]

Hendaklah tidur awal agar mudah membuka tiga simpulan syaitan yang menghalang kita dari bangun malam berqiamulail. Bahkan dengan terbukanya tiga simpulan tersebut, kita akan dapat memulakan hari esoknya dengan bersemangat, bermotivasi dan ceria. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda berkenaan tiga simpulan ini:

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ مَكَانَهَا عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ.

فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقَدُهُ كُلُّهَا.

فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.

Syaitan mengikat di atas kepala seseorang kalian yang tidur dengan tiga simpulan
dan menjadikan setiap simpulan pada tempat yang sepatutnya, lalu berkata:
“Bagi kamu malam yang panjang, tidurlah!”.

Apabila orang itu bangun dan mengingati Allah, terbukalah satu simpulan.
Apabila orang itu berwudhu’, terbukalah satu lagi simpulan.
Apabila orang itu bersolat, terbukalah semua simpulan.
Maka pada pagi harinya diri orang tersebut bersemangat lagi ceria.
Sedangkan jika tidak (yakni semua simpulan masih terikat kerana tidak bangun malam)
maka pada pagi harinya diri orang tersebut malas dan murung.[10]

7. Jangan memasuki rumah, menutup pintu rumah, makan, minum dan menutup bekas makanan serta minuman melainkan dengan membaca Basmalah.
8. Jangan melakukan sikap-sikap buruk seperti pemikiran yang sia-sia, melayan bisikan negatif, imaginasi yang buruk, malas, cemburu, marah, merungut, dengki, riya’, buruk sangka dan lain-lain.
9. Jangan menggunakan khidmat syaitan seperti berjumpa bomoh meminta ramalan, mencari barang hilang, meminta jampi-jampian dan menjatuhkan sihir kepada orang lain.
10. Jangan sengaja keluar rumah pada waktu senja.
11. Jangan membazir masa di pasar, pasaraya, pusat membeli belah, bursa saham dan tempat-tempat lain yang seumpama.

Ketiga: Jangan mengikuti tipu daya syaitan.[11] (Bab Keempat).
Hendaklah mengkaji secara teliti ketujuh-tujuh tipu daya syaitan dan menyemak sama ada ia memiliki kaitan dengan apa saja yang kita lakukan baik sebelum, semasa dan akan datang. Jika ia memiliki kaitan, segeralah menjauhkan diri darinya dan berilah amaran kepada orang lain.



Strategi # 4: Berjamaah.
Hendaklah kita berjamaah. Jamaah yang dimaksudkan bukanlah sesuatu parti, persatuan, pertubuhan atau organisasi, tetapi keseluruhan umat Islam sebagai satu jamaah. Hendaklah kita semua bersatu sebagai umat Islam. Tidak ada yang difikirkan, tidak ada yang diusahakan, tidak ada yang ditujukan kesetiaan, tidak ada yang diberikan pembelaan, tidak ada yang ditumpahkan perasaan cinta dan akrab melainkan sesama umat Islam seluruhnya.

Syaitan memiliki peranan yang utama dalam urusan berjamaah atau berpecah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.

Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jama‘ah dan sesungguhnya
syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jama‘ah.[12]

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ

وَهُوَ مِنْ لإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ.

Wajib ke atas kalian berjamaah. Berhati-hatilah dari perpecahan
kerana sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian (yakni berpecah)
dan menjauhi orang yang berdua (yakni berjamaah).
Sesiapa yang mengingini tempat di tengah-tengah syurga,
maka hendaklah dia sentiasa berjamaah.[13]

Seorang sahabat Nabi bernama Abu Tsa’labah al-Khusyani radhiallahu 'anh menceritakan bahawa pada satu masa, apabila orang ramai bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berada dalam satu perjalanan singgah beristirehat, mereka berpecah-pecah menuju ke lembah-lembah dan lereng-lerang bukit. Melihat yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ تَفَرُّقَكُمْ فِي هَذِهِ الشِّعَابِ وَالأَوْدِيَةِ إِنَّمَا ذَلِكُمْ مِنْ الشَّيْطَانِ.

Sesungguhnya berpecah-pecahnya kalian ke lembah-lembah dan lereng-lerang bukit
tidak lain adalah perbuatan syaitan.

Abu Tsa’labah al-Khusyani meneruskan bahawa setelah itu
tidaklah mereka singgah di satu tempat
melainkan yang satu bergabung dengan yang lain,
seolah-olah jika dibentangkan sehelai kain,
nescaya ia menutupi mereka semua.[14]

Berdasarkan hadis-hadis di atas, dapat kita ketahui bahawa syaitan benci kepada jamaah dan menyukai perpecahan. Ia akan sentiasa mencari jalan agar kita umat Islam sentiasa berpecah kepada pelbagai kumpulan dan aliran, kemudiannya saling bermusuhan serta ujub di antara satu sama lain. Bahkan syaitan juga akan mencari jalan agar ahli-ahli dalam satu kumpulan atau aliran saling berpecah, saling bermusuhan dan saling bermegah.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa berjamaah dengan cara:

Pertama:
Menyedari bahawa berjamaah adalah salah satu asas terpenting agama. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam),
dan janganlah kamu bercerai-berai.
[‘Ali Imran 3:103]

Oleh itu janganlah asas ini diruntuhkan semata-mata kerana hal remeh atau kepentingan peribadi.


Kedua:
Menjauhi sikap buruk sangka dan sengaja mencari-cari kesalahan di antara sesama umat Islam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;

Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[al-Hujerat 49:12]

Seandainya berlaku salah faham atau terdengar berita yang kurang baik berkenaan sesama umat Islam, segeralah untuk mencari pencerahan (clarification) terhadapnya. Pada zaman ini kita memiliki pelbagai teknologi canggih seperti emel dan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk melakukan pencerahan secara segera. Manfaatkanlah segala sarana yang ada, jangan dilengah kerana syaitan akan mencelah untuk membesarkan sesuatu yang sebenarnya kecil. Sila rujuk semula hadis pertama ketika mengupas Ciri syaitan # 15.

Jika tidak dapat melakukan pencerahan, maka hendaklah kita berbaik sangka kepadanya. ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh berkata: Janganlah kamu berprasangka terhadap kalimat yang keluar dari saudara kamu yang beriman kecuali dengan prasangka yang baik selama kamu dapati kemungkinan untuk memahaminya dengan pemahaman yang baik.[15]

Seorang tokoh generasi awal Islam, Abu Qilabah (104H) rahimahullah berpesan: Apabila sampai kepada kamu berita tentang saudara kamu yang tidak menyenangkan, maka carilah untuk dia sesuatu alasan dengan kesungguhan usaha kamu. Dan jika tidak menemuinya, maka katakanlah kepada diri kamu: “Barangkali dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya”.[16]


Ketiga:
Bersikap adil dalam menilai sesama muslim. Jangan mencari-cari kesalahannya atau membesar-besarkan sesuatu yang sebenarnya kecil. Jika ditemui sesuatu yang pada zahirnya kelihatan sebagai satu kesalahan, selidikilah ia. Ingat! Apabila Ahmad berkata Jamal salah, wujud empat kemungkinan:
Jamal memang salah.
Berlaku salah faham atau salah komunikasi antara Ahmad dan Jamal.
Ilmu Ahmad tidak meliputi ilmu Jamal.
Ahmad dengki kepada Jamal.
Lazimnya yang berlaku ialah kemungkinan dua, tiga dan empat. Oleh itu berlaku adillah kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[al-Maidah 5:08]


Keempat:
Menjauhi kedengkian, iaitu membenci sesuatu kebaikan yang ada pada saudaranya semuslim. Kedengkian adalah punca utama perpecahan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan tiadalah umat tiap-tiap Rasul berpecah belah
(dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka
ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui
(apa yang benar dan apa yang salah); berlakunya (perselisihan yang demikian)
semata-mata kerana dengki sesama sendiri.
[al-Syura 42:14]

Sebegitu besar peranan kedengkian sebagai faktor utama perpecahan sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala mengajar kita doa untuk membersihkan kedengkian tersebut:

Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami
dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman,
dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan dengki
dan dendam terhadap orang-orang yang beriman.
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat.
[al-Hasyr 59:10]



Strategi # 5: Zikir.
Strategi yang kelima ialah zikir, iaitu mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan cara yang disyari‘atkannya. Terdapat tiga jenis zikir untuk kita melawan syaitan, iaitu:

Pertama: Basmalah.
Apabila kita hendak memulakan apa jua urusan, mulailah dengan menyebut Bismillahi Rahmani Rahim. Sebelum ini telah dikemukakan banyak hadis-hadis yang mengajar kita membaca Basmalah apabila mula melakukan sesuatu perkara. Walaubagaimana pun membaca Basmalah tidak terhad kepada urusan-urusan memasuki rumah dan mengunci pintu sahaja. Oleh kerana syaitan turut serta dalam apa jua urusan yang kita buat, maka dengan itu kita mendahului semuanya dengan Basmalah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ...

Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…[17]

Basmalah juga disebut dalam pertengahan sesuatu urusan, khasnya apabila urusan tersebut tidak berlaku seperti mana yang kita hendaki. Janganlah menyebut “Cis!”, “Celaka!”, “Damn it!” atau apa-apa perkataan sumpahan yang lain, sebaliknya sebutlah Bismillahi Rahmani Rahim. Salah seorang sahabat Nabi menceritakan bahawa dia pernah membonceng di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tiba-tiba haiwan tersebut tergelincir lalu dia bersumpah: “Celakalah syaitan!”

Mendengar yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegur:

لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ

حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ

فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ.

Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya,
syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata
“Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!”
kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil
sehingga sekecil lalat.[18]


Kedua: Isti‘azah.
Isti‘azah ialah menyebut A‘uzubillahi minash syaitan nirrajim, yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam”. Apabila saja kita merasai dihasut, dibisik atau diganggu oleh syaitan, maka sebutlah Isti‘azah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan,
maka mintalah perlindungan kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa,
apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan,
mereka ingat (kepada Allah)
maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
[al-A’raaf 7:200-201][19]


Ketiga: Ayat dan surah tertentu dari al-Qur’an.
Basmalah dibaca sebelum sesuatu urusan, Isti‘azah dibaca apabila merasai gangguan syaitan ketika melakukan sesuatu urusan, maka zikir yang ketiga ialah melazimkan diri membaca beberapa ayat dan surah yang tertentu. Ayat dan surah yang dimaksudkan ialah:

Ayatul Kursi.
Ini merujuk kepada ayat 255 surah al-Baqarah. Hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemujaraban ayat ini untuk menghalau syaitan dan lain-lain makhluk ghaib boleh dirujuk dalam Tafsir Ibn Katsir, tafsir kepada ayat 255 surah al-Baqarah. Ayatul Kursi ialah:

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya).
Yang tidak mengantuk usahkan tidur.
Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.
Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya
melainkan dengan izin-Nya.

Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,
sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah
melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;
dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga
serta memelihara keduanya.
Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[al-Baqarah 2:255]


Surah al-Baqarah.
Surah al-Baqarah ialah surah yang kedua di dalam al-Qur’an. Berkenaan surah ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ.

Janganlah menjadikan rumah kalian seperti kawasan perkuburan.
Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah
yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah.[20]


Surah al-Mu‘awwizatain.
Ini merujuk kepada dua surah terakhir di dalam al-Qur’an. Ia adalah pelindung kepada pelbagai jenis gangguan tanpa terhad kepada gangguan syaitan sahaja. Ia juga adalah pelindung dan penyembuh dari kerasukan dan sihir. Hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemujaraban surah al-Mu‘awwizatain boleh dirujuk dalam Tafsir Ibn Katsir, sebelum permulaan tafsir surah al-Falaq. Surah al-Mu‘awwizatain ialah:

Katakanlah: “Aku berlindung kepada (Allah)
Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan,
dan dari bahaya gelap apabila ia masuk,
dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus
pada simpulan-simpulan,
dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.”
[al-Falaq 113:1-5]

Katakanlah: “Aku berlindung kepada (Allah)
Pemulihara sekalian manusia,
yang menguasai sekalian manusia,
Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,
yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,
(iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
[al-Nas 114:1-6]

Demikian tiga jenis zikir untuk melawan syaitan. Sebutlah ia, bacalah ia dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Jangan dengan keraguan dan kelalaian. Ingin ditambah bahawa tiga jenis zikir di atas adalah umum untuk semua jenis gangguan syaitan dalam semua suasana. Sebagai tambahan terdapat beberapa zikir yang khusus diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kes-kes tertentu seperti memasuki tandas, keluar rumah untuk sesuatu perjalanan, apabila memasuki rumah yang kosong dan sebagainya.

Jika para pembaca memiliki kemampuan, amat dianjurkan untuk menghafal dan mengamalkan zikir-zikir tersebut. Walaubagaimana pun jika tidak mampu atau telah menghafal tetapi lupa, memadai membaca tiga zikir di atas yang umum untuk semua suasana. Terdapat banyak buku yang mengemukakan zikir-zikir untuk suasana yang khusus. Mana-mana buku yang menerangkan sumber hadis dan darjat bagi setiap zikir dapat dijadikan rujukan.




[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar terhadap bala’).
[2] Ini merupakan ringkasan dari Bab Kedua.
[3] Lebih lanjut tentang hukuman Qishash dan lain-lain bentuk hukuman jenayah dalam Islam, rujuk risalah saya Berkenalan Dengan Ciri-Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam Hukuman Jenayah yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1855-2 (Kitab al-Imarah, Bab para imam yang baik dan buruk).
[5] Lebih lanjut berkenaan hukum politik Islam di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[6] Ini merupakan ringkasan dari Bab Ketiga.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2606 (Kitab al-Jihad, Bab berangkat pada waktu pagi).
[8] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 1647.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 568 (Kitab Mawaqit al-Solat, Bab berkenaan dibenci tidur sebelum Isya’).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3269 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[11] Ini merupakan ringkasan dari Bab Keempat.
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 4577 (Kitab al-Siyar, Bab mentaati para imam).
[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2165 (Kitab al-Fitan, Bab berkenaan sentiasa berjamaah).
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2628 (Kitab al-Jihad, Bab perintah agar para pejuang sentiasa berkumpul).
Lebih lanjut tentang hukum jamaah-jamaah yang ada di dunia Islam masa kini termasuk di Malaysia, rujuk risalah saya Perkara Ke-12 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid: Menjadikan Jamaah Sendiri Sebagai Agama yang dimuatkan dalam buku saya Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[15] Disebut oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur‘an al-‘Adzim, jld. 4, ms. 193, (tafsir bagi ayat 49:12).
[16] Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’, no: 2411 (Tabaqat Ahl al-Madinah: ‘Abd Allah bin Zaid al-Jarami).
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2033-4 (Kitab al-Asyrabah, Bab disukai menjilat jari).
[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4982 (Kitab al-Adab, Bab selepas bab Larangan berkata “Celakalah diriku!”).
[19] Bagi bacaan Basmalah dan Isti‘azah, terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah hanya dibaca Bismillah atau dilanjutkan kepada Bismillahi Rahmani Rahim. Demikian juga, adakah hanya dibaca A‘uzubillahi minas syaitan atau dilanjutkan kepada A‘uzubillahi minas syaitan nirrajim. Setakat ini saya tidak menemui hujah yang cukup kuat untuk menguatkan salah satu dari keduanya. Maka saya membiarkannya terbuka. Wallahu ‘Alam.
[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 780 (Kitab Solat al-Musafirin…, Bab disukai melaksanakan solat sunat di rumah…).

No comments:

Post a Comment