the best arabic songs

Thursday, 5 April 2012

Saya terima lamaran itu...

"Awak tak sudi ke?"

"Tak sudi."

"Betul ni awak tak sudi?"

"Ya, saya tak sudi."

"Awak memang benar-benar tak sudi ke?"

"Iya, saya benar-benar tak sudi! Maaf, carilah orang lain."

Lamaran ditolak begitu sahaja. Tanpa berfikir berfikir panjang. Tanpa memikirkan berkali-kali akan lamaran tersebut. Lamaran yang begitu mahal ditolak mentah-mentah.

Secara rasminya lamaran tersebut ditolak, lantaran pelbagai lagi lamaran yang lain menanti. Lamaran itu ditolak, disebabkan perasaan tidak layak untuk menerima lamaran tersebut. Lamaran itu dipandang sebelah mata, dek kerana lamaran-lamaran lain yang lebih menjanjikan kebahagiaan dan keseronokan.

Dengan ini, secara rasminya lamaran perjuangan itu ditolak!

Saya Tidak Layak

"Akak, macam mana ni?" Suatu pertanyaan daripada orang di sebelah membantutkan lamunan saya.

"Macam mana apa Ila?" Saya menoleh ke arah orang sebelah, lantas membiarkan lamunan tadi terbang menghilang begitu sahaja.

"Saya rasa tak layak kak. Saya rasa tak layak saya menjadi naqibah." Akhirnya terluah juga sebuah bebanan yang berat yang asyik bermain-main di kepala Ila semenjak dua menjak ini.

Lantunan kata-kata daripada mulut sahabat yang berpangkit 'adik' di sebelah saya menyebabkan fikiran saya pause seketika. Kemudian neuron-neuron otak kembali aktif untuk mendapatkan jawapan yang sesuai untuk disampaikan kepada adik tersebut.

"Kenapa Ila rasa tidak layak?"

"Saya rasa saya tak banyak ilmu. Saya rasa saya bukanlah orang yang baik untuk menjadi naqibah." Sebuah jawapan yang saya dapat agak daripada awal-awal lagi.

"Ila, Hassan Al-Basri ada berkata. Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka, akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan. Ila, pernah dengar kan kata-kata ini kan?"

Ila hanya mengangguk. Yang nyata, dia sedikit tersentak mendengar jawapan yang baru sahaja dilontarkan itu.

"Jadi, kalau rasa kita tidak banyak ilmu, cuba top-up ilmu sebanyak mana yang kita mampu. Jika kita rasa kita ni tidak baik, kita semua bukanlah sempurna. Jika kita mengharapkan diri kita ini benar-benar cukup ilmu dan sempurna, sampai mati pun kita tidak akan menyampaikan dakwah."

Tempah Tempat Di Syurga

Bukan Ila sahaja yang pernah merasakan seperti itu. Merasakan diri tidak layak untuk menjadi naqibah. Merasakan diri tidak mampu untuk menjadi seorang dai'e. Saya juga dahulu pernah merasakan begitu. Saya juga yakin kalian juga pernah merasakan sebegitu bukan?

Justeru, pasakkan al-fahmu dalam diri masing-masing peranan akan peranan kita sebagai dai'e. Teguhkan keyakinan setinggi mungkin dengan untuk terus menjulang Islam hingga ke akhir hayat. Seorang dai'e tidak semestinya seorang yang mendapat jawatan naqib. Namun seorang dai'e adalah seorang yang menyedari bahawa dirinya adalah agen kepada Islam lantas terus menyebarkan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran dengan kuasa yang dia ada. Seorang dai'e akan terus menggunakan ruang yang ada untuk menyampaikan kepada orang di sekeliling.

Fikirkanlah jika kita menerima lamaran perjuangan itu. Sebuah lamaran yang tidak menjanjikan keseronokan di dunia, namun sebuah lamaran yang menjanjikan kebahagiaan di akhirat kelak. Sebuah lamaran yang menjadi tiket untuk kita menempah tempat di syurga nanti. Moga-moga lamaran perjuangan ini dipandang oleh Allah.

Jika kita terus berkeras kita tidak layak menerima lamaran perjuangan ini, bayangkan apabila kita dinyatakan dengan sekeras-kerasnya bahawa

kita tidak layak untuk menempah tempat di syurga!

Ya Allah..
Malunya denganMu..
Dangkalnya ilmu..
Ceteknya iman..
Sikitnya amal..
Di usia muda..
Menerima risikan..
Tidak menyangka sama sekali..
Usaha mensoleh dan mensolehahkan diri..
Mendapat perhatian sebegitu rupa..
Jawapan apa harus diberikan..
Andai yang datang, adalah yang terbaik daripadaMu..
Mohon sahabat-sahabat doakan..
Agar bijak menimbang..
Lamaran emas sekali cuma..
Walau berat mulut ingin mengatakan 'Ya, saya terima lamarannya.'
Tapi hati mendesak..
InsyaAllah selepas istiqarah..
Temui jua jawapannya..
Moga-moga barakah mendahului..
Dalam malu, hati berkata..

"Ya,saya terima lamaran perjuangan ini!

No comments:

Post a Comment